Assalamu’alaikum…

Udang Masak Tiga Rasa yang Mudah dan Lazat – Setelah lama bercuti di dapur, hari ini saya telah kembali memasak makan tengahari untuk anak-anak kerana tidak lama lagi Aisyah akan memulakan pengajian di kolej. Walaupun Aisyah hanya meratah lauk sahaja, tapi Diana dan Afifah makan lauk-lauk yang saya sediakan dengan nasi putih. Lagi pula, ramai yang menulis yang saya telah lama tidak berkongsi resepi baru di blog. Terima kasih pada yang masih sudi singgah walaupun blog ini telah mula suam-suam kuku.

Sebelum masuk bab resepi, ingin saya kongsikan berkenaan kuliah Ustazah Ros Izanuri berkenaan bab menguruskan jenazah sehingga pengkebumian. Memang agak menginsafkan. Tapi Ustazah cepat-cepat berpesan supaya jangan merasa takut untuk melihat bagaimana jenazah dibaringkan dalam kubur terutama jika orang orang yang terdekat dengan kita. Kata Ustazah lagi, mati adalah sangat dekat dengan kita, umpama urat di tengkuk sahaja. Bila bila masa sahaja dan tanpa apa apa sakit pun, kita boleh mati bila masanya telah tiba. Apa yang perlu dibuat adalah persediaan untuk menghadapi kematian. Dikatakan orang yang cerdik ialah orang memikirkan keadaan di alam kubur dan kehidupan selepas kematian.

Jika kita tidak banyak berbuat amalan, mulalah melakukannya dari sekarang. Lakukan amalan yang mudah seperti berzikir setiap masa. Berbalik kepada jenazah, dikongsikan bahawa kita tidak digalakkan duduk di kubur sehingga jenazah telah diturunkan. Berkenaan tidak boleh makan minum di rumah yang masih ada jenazah di dalamnya, kata Ustazah yang ianya tidak menjadi masalah. Tapi sebaiknya makanan disediakan oleh jiran tetangga atau saudara mara bukan rumah yang menpunyai kematian. Yang lain rasanya, sama kot dengan yang biasa diajar oleh ustaz-ustaz lain atau kita boleh baca buku atau mendengar kuliah ustaz-ustaz di youtube.

Okey… sekarang kita masuk bab resepi yang sangat mudah dan sedap ini. Lebih lebih lagi menggunakan udang yang segar. Resepi ini boleh juga ditukarkan dengan ikan. Tapi jika menggunakan ikan, ianya perlu dilumur dengan garam kunyit dan digoreng terlebih dahulu. Jom layan resepi dulu…

Artikel Lainnya:

Bahan-bahan:

  • Udang – 400 Gram ( dibuang kulit), terpulang sama ada nak dengan kulit pun boleh.
  • Lada Blender – 3 sudu besar
  • Cili Padi – 4 biji ( di ketuk) / di blender sekali dengan lada kering.
  • Halia – 1 inci ( dihiris halus)
  • Bawang Putih – 4 biji di ketuk dan dicincang
  • Bawang Besar – 1 biji ( di hiris bulat)
  • Daun limau purut -3 helai di carik-carik
  • Lada Bangala – 1/2 biji di potong dadu
  • Sos Tiram – 2 sudu makan
  • Sos Cili – 1/2 cawan
  • Sos Tomato – 2 sudu makan
  • Sedikit kunyit
  • Sedikit air
  • Garam dan Gula
  • Minyak untuk menumis

Cara-cara Membuat:

  • Bersihkan udang dan di gaul dengan garam dan kunyit.
  • Gorengkan udang 1/2 masak sahaja dan angkat.
  • Dengan baki minyak tadi tumiskan halia yang di hiris tadi dan bawang putih sehingga naik bau dan masukkan lada blender. Tumislah sehingga lada blender ini garing.
  • Masukkan sos tiram, sos cili dan sos tomato, lada bangala dan juga daun limau purut.
  • Masukkan sedikit air dan reneh seketika.
  • Masukkan udang yang telah di goreng tadi dan masukan bawang besar, kacau sekejap dan bolehlah perasa masakan.
  • Masak selama lebih kurang 5 minit. (udang sudah masak jadi tidak perlu masak terlalu lama)
  • Bolehlah matikan api dan siap untuk hidangan.

Sedap dan mudah sahaja kan resepi Udang Masak Tiga Rasa ini dan sampai jumpa di entry sedap selanjutnya. Selamat mencuba dan semoga berjaya… 😉

Read More: Resepi Asam Pedas Ikan Cencaru Paling Mudah dan Ringkas

Udang Masak Tiga Rasa yang Mudah dan Lazat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *