Assalamu’alaikum…

Resepi Sup Ikan Kerapu Mudah dan Sedap – Entah kenapa sejak kebelakangan ini, saya menjadi seorang yang sangat sentimental, sangat sedih, sayu dan hiba. Segala perasaan muram bercampur baur. Tiba-tiba saya menjadi malu akan perbuatan saya sendiri. Saya merasa segan dengan apa yang dibuat selama ini. Dalam masa yang sama, saya ingin sentiasa meredhakan apa sahaja yang saya alami dan ingin meletakkan semuanya pada percaturan Allah.

Sudah semestinya sebagai manusia kita tidak akan berpuas hati dengan apa yang ada di dunia ini. Jadi saya memperbanyakkan membaca buku-buku dan mendengar kuliah agama untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan supaya saya lebih bersedia. Bersedia menempuhi apa sahaja ketentuan Allah. Itulah sebenarnya antara sebab sebab saya tidak ada mood untuk menulis blog seperti masa lalu. Sekadar menulis ala kadar sahaja.

Berbalik kepada resepi pula, saya belajar resepi ini dari sahabat saya Dr Sabariah semasa mengunjungi rumah mereka ketika itu di UiTM Segamat. Saya melihat beliau menyediakan sup ini sambil bersembang sembang di dapur. Nampak mudah dan ringkas tetapi hasilnya sangat sedap. Jadi kalau tak ada idea, dan jemu untuk memasak lemak sahaja, bolehlah mencuba Resepi Sup Ikan Kerapu ini pula. Jom kita layan resepi mudah dan sedap ini dulu…. Layari juga channel youtubenya klik di SINI.

Bahan-bahan:

  • 2 ekor ikan kerapu – bersihkan dan potong 2
  • 1 biji tomato – belah 4
  • 1/2 batang lobak merah – potong bulat
  • 1 cawan potongan bunga kobis
  • 1 cawan potongan brokoli
  • 1 keping asam gelugur
  • Sedikit minyak
  • 1 sudu lada putih – tumbuk
  • 600ml air
  • Garam / perasa pilihan

Bahan Tumbuk:

  • 3 biji bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 1 inci halia
  • 1 sudu teh ketumbar biji
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1 sudu teh jintan manis

Rempah Penumis:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 biji cengkih
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga

Bahan Hiasan:

  • Hirisan daun sup & daun bawang
  • Bawang goreng

Cara Membuat:

  • Panaskan sedikit minyak dan goreng rempah penumis hingga wangi.
  • Masukkan bahan tumbuk dan goreng hingga garing.
  • Tambahkan air, dan masukkan lobak merah. Biarkan mendidih.
  • Masukkan ikan kerapu, asam keping dan biarkan masak di antara 4-5 minit.
  • Masukkan brokoli, bunga kobis dan capsicum hijau dan biarkan seketika.
  • Tambahkan lada putih, garam /perasa pilihan dan juga tomato.
  • Padamkan api dapur.
  • Hidangkan segera dengan taburan daun bawang / sup hiris dan juga bawang goreng.

Sedap dan mudah sahaja kan Resepi Sup Ikan Kerapu ini dan sampai jumpa di entry sedap selanjutnya. Semoga perkongsian diatas dapat memberikan idea memasak kepada ibu-ibu & rakan-rakan di luar sana. selamat mencuba & selamat menjamu selera…

Read More: Ikan Bawal Masak Sos Mudah dan Simple Terkini

Resepi Sup Ikan Kerapu Mudah dan Sedap Spesial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *