Assalamu’alaikum….

Hari nie saya nak share resepi yang biasa arwah mak mertua saya masakkan dulu. Bila saya masakkan Sambal Tumis Ikan Bilis seperti nie, mesti husben saya akan menyebut “macam arwah mak buat dulu” abang suka sambal cam nie. Sambal ikan bilis lembut nie, sedap makan dengan nasi impit atau di cicah dengan roti, atau di makan dengan nasi lemak. Memang maveles. Kebetulan saya masakkan sambal nie memang nak makan dengan nasi impit. Biasa saya akan masakkan lebih, kemudian simpan frozen dalam freezer. Bila perlu panaskan aje.

Ikan bilis yang saya beli nie kat Kuala Selangor. Nak sebut kat mana tu, bukannya reti sangat agak-agak selepas pekan Kuala Selangor , selepas traffic lite, sebelah kiri deretan kedai tu pun jenis yang lama-lama tu. Ada sorang pacik tu yang meniaga ikan bilis dan ikan masin. Dah banyak kali kami membeli di situ. Bila ke Kuala Selangor, pasti singgah di situ. Ikan bilis yang saya beli ni size yang sedang, sekilo RM20. Ikan bilis nie datang dari Tanjung Dawai Kedah. Baunya pun sedap dan tak berbau hapak.

Saya suka kan ikan bilis yang di kopek sendiri, terasa lagi banyak dapat, kalau size nya besar, saya akan belah empat ikan bilis tu. Kalau size sedang-sedang, belah dua cukup dah. Buang kepala dan isi perutnya. Kemudian saya akan tampikan, buangkan habuk-habuk ikan bilis tu. Selepas tu baru dibasuhkan. Tapi tak lah basuh terlalu lama, agak-agak air nya tak keruh sangat. Toskan airnya sehingga kering, kemudian saya akan letak atas dulang.

Masa nie ikan bilis tu masih belum kering. Untuk mengeringkan nya, saya akan letak dulang berisi ikan bilis tu dalam peti ais. Dalam 2 atau 3 hari ikan bilis akan mula mengering. Baru lah saya simpan dan bekas simpanan. Bila nak masak, saya dah senang, tak perlu nak mengopek atau membasuh. dan ikan bilis akan terasa bersih dan ranggup. Kalau nak buat kerabu ikan bilis atau nasi goreng ikan bilis, tak perlu bersusah susah lagi nak membasuh. Hemmm!!! dah bagi tau cam mana saya membersih kan ikan bilis, nak tau cam mana saya masak sambal ikan bilis lembut nie. Jom tengok kat bawah nie resepinya berserta gambar, senang dan simple.

Artikel Lainnya:

Bahan-bahan:

  • 3 sudu besar gula pasir
  • 1 keping asam/ air asam jawa
  • 1 mangkuk ikan bilis – digoreng sampai layu
  • 1 biji bawang besar – dihiris
  • 1/2 mangkuk cili kisar atau 22 tangkai cili kering – buang biji, rebus dan kisar
  • Sedikit gula merah – opsyenal
  • Garam secukupnya

Bahan Kisar:

  • 3 ulas bawang merah
  • 3 biji bawang besar
  • 1 biji buah keras – opsyenal
  • Sedikit ikan bilis mentah
  • Sedikit belacan bakar – opsyenal

Cara-cara Membuat:

  • Pertama, panaskan minyak kemudian tumis bahan kisar hingga harum. masukan cili kisar dan tumis dengan api kecil supaya tidak hangit dan betul-betul masak.
  • Bila cili dah terbit minyak dan benar-benar masak, masukan sedikit garam dan gula untuk menggaringkan sambal dan masukan sedikit air
  • Kemudian, baru dimasukan bawang besar hiris, gula merah, gula, sedikit garam, dan asam keping.
  • Terakhir, baru masukan ikan bilis biarkan merenih lama-lama sehingga sambalnya terbit minyak dan agak pekat. bila dah masak boleh langsung dihidangkan.

Tips nak dapatkan sambal yang sedap:

Mula-mula cili kering tu di potong pendek pendek dan keluarkan biji-biji nya. Kemudian direbus sehingga mendidih dan lembut. Tapis cili rebus tu sambil tekan tekan dengan senduk supaya bijinya keluar lagi. Lepas tu bolehla kisar. Kalau tumbuk pakai lesung batu mesti sedap lagi. Tapi kalau malas tumbuk boleh kisar dengan pengisar jenis kering tu. Hasilnya macam cili tumbuk juga. Tak terlalu berair sangat. Dan bila tumis, sambal tu tak meletup letup sangat. Kalau kisar cili pakai blender biasa tu cili selalu meletup sampai pijar tangan.

Bagaimana?… Sudah bersedia untuk memasak sambal tumis ikan bilis ini. Jangan lupa kongsikan pendapat anda tentang rasanya ya… Selamat mencuba… 😉

Read More: Resepi Sotong Bakar Ala Portugis yang Wajib Cuba

Resepi Sambal Tumis Ikan Bilis Paling Lazat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *