Assalamu’alaikum…

Resepi Sambal Sotong Paling Sedap yang Wajib Cuba – Banyak resepi dan cara mengolah sotong untuk menjadi satu hidangan yang sedap. Kalau tanya anak-anak, tak lain tak bukan sotong goreng salut tepunglah jawabnya! Kalau sotong goreng salut tepung saja yang saya buat setiap kali ada sotong, nampaknya tak bertambahlah resepi sotong di dapur maya ini. Petang tadi pun hampir-hampir juga saya buat sotong goreng salut tepung, apalagi ada seikat daun ketumbar segar di dapur. Memang dah terbayang sotong goreng salut tepung dengan hirisan daun ketumbar dan tabur sedikit jintan manis biji!

Sambil masak nasi, sambil menyiang ikan tongkol… sambil-sambil memikirkan masakan apa yang sesuai untuk sotong nan 3 ekor ini. Pada mulanya saya nak masak sambal ikan tongkol. Siaplah sudah semua bahan saya sediakan. Entah mengigau apa ke, akhirnya saya goreng saja ikan tadi, dan masak sayur kobis. Bahan untuk sambal ikan saya gunakan untuk masak sotong! hahaha… lain yang dirancang, lain yang masuk kuali.

Dulu, masa mula-mula masak sambal sotong, macam-macam rupa yang dihasilkan! Sambal sotong tak pekat, cair berair sebab air sotong banyak keluar! Bila masak lama sedikit sebab nak keringkan airnya, sotongnya pulak jadi keras liat macam getah! Dah tak berselera nak makan pulak. Apalagi kalau nak jadikan sambal sotong sebagai lauk nasi lemak.

Memang tak sesuai langsung, sebab kuahnya yang banyak akan mencacatkan rasa nasi lemaknya pula! Lama-lama, hasil pengamatan dan pengalaman tahulah saya di mana kelemahannya. Jadi saya pun keluarkan terlebih dahulu air sotong dengan cara memanaskannya di dalam kuali selama beberapa minit sehingga keluar segala air yang terkandung di dalam badan sotong tadi dan kemudian toskan sehingga kering. Kemudian barulah saya masak sotong tersebut.

Mungkin orang lain ada caranya yang tersendiri, sebab saya pernah dengar ada yang tambahkan sedikit air bersama sotong dan kemudian direbus bersama sehingga keluar air sotong. Selepas itu ditoskan. Mana-manalah kaedah yang sesuai kan. Sekarang saya nak kongsi Resepi Sambal Sotong yang Sedap ni.

Artikel Lainnya:

Bahan-bahan:

  • 500 gram sotong
  • 1 batang serai, diketuk
  • 1 biji bawang besar, hiris nipis
  • 2 senduk minyak masak
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan untuk Cili Kisar:

  • 15-18 biji cili kering, dipotong, buang biji dan rebus
  • 3 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 batang serai, hiris nipis
  • 1 inci halia
  • 1 biji bawang besar

Cara Penyediaan:

  • Bersihkan sotong dan ketepikan.
  • Panaskan minyak dan tumis bawang besar sehingga kekuningan.
  • Masukkan cili kisar dan masak di atas api sederhana sehingga pecah minyak.
  • Selalu kacau kuah sambal supaya bahagian bawah tidak berkerak dan hangit.
  • Masukkan sotong, sos tiram, dan air asam jawa.
  • Kacau dan biarkan sehingga sotong masak.
  • Apabila kuah sudah menjadi pekat, perasakan dengan gula dan garam secukupnya.

Resepi Sambal Sotong ni sedap juga dimakan bersama nasi lemak. Boleh juga dimakan bersama roti. Semuanya terpulang pada selera masing-masing. Semoga dengan perkongsian ini, dapat membantu anda menyediakan juadah masakan yang sedap dan ringkas buat keluarga tersayang. Selamat mencuba… 😉

Read More: Sotong Sumbat Kelapa yang Patut Cuba

Resepi Sambal Sotong Paling Sedap yang Wajib Cuba

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *