Assalamu’alaikum…

Resepi Ikan Kembung Rebus Air Asam Sedap – Sejak dua tiga menjak ni tekak saya tak berapa nak selesa, asyik batuk-batuk saja. Jadi selera makan pun terganggu juga. Nak beli makanan di kedai, semuanya berminyak dan bergoreng. Nak tak nak saya masak juga sendiri, tapi pilih menu yang mudah dan ikut tekak saya.

Ikan kembung rebus air asam memang salah satu menu yang paling saya suka. Dulu masa arwah mak masih ada, dia suka rebus ikan kembung dan cicah dengan sambal belacan. Makan pula dengan sayur kucai campur taugeh, berkuahkan kicap. Perghhh… walau pun simple tapi boleh tambah berkali-kali okey.

Kali ni tengok apa bahan yang nak kena ada kalau nak cuba buat ikan kembung rebus air asam ni ya. Ni bukan cicah, tapi masukkan air asam buat kuah ikan rebus tu. Senang ajer nak buat kekawan ikan kembung rebus air asam ni kekawan. Jom kita intai resepi yang mudah ini.

Bahan-bahan:

  • 2 ekor ikan kembung yang sangat segar
  • 1 cawan air
  • 2 ulas bawang merah
  • 1 biji cili merah – 1/2 dihiris halus
  • 4 biji cili api merah dan hijau (kalau panjang 2 pun cukup) – dihiris
  • 1/2 sudu teh belacan dibakar
  • 1/2 biji tomato potong dadu
  • 1/2 labu bawang besar dihiris halus
  • 1/2 sudu teh asam jawa (kalau takde ganti dengan cuka)
  • Jus limau nipis secukup rasa
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara penyediaan:

  • Rebus ikan dalam kuali hingga air mendidih (seeloknya kuali non stick).
  • Tuang air rebusan dalam mangkuk lain dan biar ikan masak dalam kuali (macam bakar la).
  • Tumbuk 1/2 cili merah, bawang merah, belacan dan asam jawa.
  • Bancuhkan bahan tumbuk dengan air rebusan ikan.
  • Masukkan bahan yg dihiris, tomato, garam, gula dan perahkan limau nipis secukup rasa.
  • Letakkan ikan dalam pinggan dan siramkan kuah tadi. Siap untuk dimakan dengan nasi panas.
  • Kalau malas nak tumbuk boleh dihiris halus semua bahan dan gaulkan saja dengan air rebusan.

Tips: Jangan masak lama kulit limau tau, nanti akan keluar rasa pahit. So, perah limau dan letak limau ni bila api dah dipadamkan. Sekadar nak mencantikkan hidangan kita.

Memang berselera saya makan nasi hari ni. Walau mudah tapi kena dengan selera saya, macam tak puas pula bila buat 2 ekor saja. Tak apa, ikan masih ada, lain kali boleh buat lagi.

Selamat mencuba… 🙂

Read More: Resepi Ikan Bawal Putih Masak Pedas

Resepi Ikan Kembung Rebus Air Asam Sedap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *