Assalamu’alaikum…

Menu kampung untuk hari ini Resepi Gulai Lemak Ikan Talang Masin dengan Nenas. Kalau buat masak lemak cili api lagi terangkat la kan. Tapi sebab ada anak kecil memang tak boleh la letak cili api.Untuk Resepi Gulai Lemak Ikan Talang Masin Dengan Nenas ni boleh guna apa-apa ajer jenis tulang ikan masin. Antaranya tulang ikan talang atau tulang ikan duri yang dah dikeringkan.

Kemaafan dipinta sekiranya ada rakan-rakan yang singgah di blog ini tidak dapat menatapi resepi terbaharu. Faktor kesihatan dan kesibukan kerja tidak mengizinkan saya untuk berceloteh lebih kerap dan lama di laman blog ini.

Syukur Alhamdulillah dengan keizinanNYA saya dapat kembali duduk di depan komputer dan memuatkan resepi untuk menu tengah hari ini. Agak ringkas resepi hari ini iaitu Gulai Lemak Ikan Talang Masin dengan Nenas dan juga Ikan Kembong Masak Kicap. Rasanya semua orang telah expert memasak resepi ini kan!!!

Ikan masin memang dapat menaikkan selera makan, inikan pula jika dimasak bersama nenas yang rasanya masam-masam manis. Bagi yang mahu memastikan yang tersayang makan dengan berselera, apa lagi, cubalah resepi ringkat yang disediakan ini.

Bahan utama:

  • 20 biji cili padi (kalau suka pedas, boleh tambah kuantiti cili padi)
  • 2 biji bawang merah
  • 4 biji bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 batang serai – (Diketuk terlebih dahulu)
  • 1 biji nenas – potong kecil
  • 4 cawan air
  • Santan secukupnya
  • Ikan talang masin – (Dipotong Kecil)
  • 2 keping Asam gelugor
  • Garam
  • Gula

Bahan-Bahan Kisar:

  • 2 biji bawang merah
  • 4 biji bawang putih
  • 20 biji cili padi
  • 1 inci kunyit hidup
  • *kisarkan kesemua bahan dia atas sehingga hancur dan benar-benar lumat. Sementara mengisar, anda boleh memanaskan minyak di dalam periuk.

Cara Membuatnya:

  • Masukkan serai yang telah diketuk ke dalam periuk yang telah panas minyaknya. Setelah naik bau serai, masukkan pula bahan kisar tadi. Kacau rata sehingga agak garing dan naik bau.
  • Tuangkan santan sedikit demi sedikit dan kacau. Masukkan air dan kacau hingga mendidih.
  • Setelah mendidih, masukkan ikan ikan masin talang yang telah siap dipotong kemudian masukkan nenas. Kacau rata dan masak hingga nenas empuk.
  • Masukkan asam gelugor, garam dan gula. Kacau perlahan supaya bahan dan rempah sebati.
  • Biarkan mendidih sekejap dengan api kecil dan teruskan kacau.
  • Setelah mendidih dan telah cukup rasa, boleh matikan api.
  • Sajikan bersama nasi panas dan sedikit ulam-ulaman.

*Anda boleh juga terus masukkan air, serai dan bahan kisar ke dalam periuk tanpa perlu menumis. Terpulang kepada cara masing-masing.

Selamat mencuba dan semoga berjaya… 🙂

Read More: Resepi Ikan Kembung Rebus Air Asam Sedap

Resepi Gulai Lemak Ikan Talang Masin dengan Nenas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *