Assalamu’alaikum…

Ikan Tenggiri Asam Pedas Dengan Nenas Pembangkit Selera – Salam Jumaat buat semua yang sudi lagi singgah di dapur maya saya ni. Bagi negeri Johor hari Jumaat adalah hari cuti, maka ramailah yang merebut peluang untuk menyiapkan dan melengkapkan lagi keperluan anak sekolah. Hari Jumaat juga pada saya adalah hari yang cukup pendek masanya. Terkejar-kejar nak masak dan mengemas rumah kerana sekejap lagi orang lelaki dah nak ke masjid menunaikan solat Jumaat. Oleh kerana itu kena masak awal-awal, sebab ada yang nak makan dahulu sebelum ke masjid dan ada juga yang nak makan bila selesai menunaikan solat.

Hari ni masak yang mudah dan ringkas aje. Masakkan kesukaan orang selatan tanah air iaitu asam pedas. Asam pedas ni kan bagi orang Johor, tak ada istilah jemu, ianya macam dah sebati. Kalau seminggu tak kena asam pedas boleh meracau di buatnya, macam terasa tak cukup energy aje.

Resepi asam pedas saya kali ni saya menggunakan ikan tenggiri, biasa saya kalau masak asam pedas atau lauk gulai yang menggunakan ikan, saya akan guna kepala ikan dan bahagian ekor untuk di masukkan dalam gulai. Sementara bahagian isi biasanya saya goreng aje, sebab anak-anak semua lebih suka makan ikan goreng berbanding ikan yang di dalam gulai. Jadi sayang kalau ada isi ikan dalam gulai tu kan, tak di makan, baik goreng aje, pasti licin pinggan.

Ikan dalam gulai atau lauk asam pedas ni biasanya suami saya yang tukang habiskan. Suami saya memang sangat suka makan ikan berbanding ayam dan daging. Okey, cersaya pasal lauk saya ni, sebenarnya tak cukup lengkap bahannya. Saya masak yang mudah aje dan mengikut apa bahan yang ada di rumah aje. Tak letak bunga kantan dan bendi, cuma letak daum kesum aje sebagai pembangkit selera.

Artikel Lainnya:

Bahan-bahan:

  • 2 keping ikan tenggiri sederhana besar
  • 1/2 biji nenas – dikupas, dibuang mata dan di hiris nipis-nipis
  • 1/4 cawan air asam jawa
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 4 sudu besar minyak untuk menumis

Bahan Kisar:

  • 6 tangkai cili kering
  • 3 tangkai cili merah
  • 7 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 cm lengkuas
  • 2 cm halia
  • 2 cm kunyit hidup
  • 2 cm belacan (lebihkurang besar ibu jari tangan)

Cara Memasak:

  • Panaskan caserol yang telah dituang minyak.
  • Tumis bahan-bahan kisar dengan api sederhana dan masak hingga naik minyak dan kemerahan.
  • Masukkan air untuk kuahnya dan nenas, biarkan mendidih sekejap.
  • Masukkan ikan dan air asam jawa.
  • Masak dengan api sederhana sahaja hingga nenas lembut dan ikan masak. Kacau sesekali.
  • Masukkan garam dan gula secukup rasa. Seimbangkan rasa.
  • Bila kuah telah naik kemerahan boleh lah ditutup api dan hidangkan dengan nasi putih.

Semoga apa yang saya kongsikan dapat bermanfaat. Selamat mencuba dan jangan lupa share ya…

Read More: Resepi Sambal Terung Ikan Bilis Paling Sedap

Ikan Tenggiri Asam Pedas Dengan Nenas Pembangkit Selera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *