Assalamu’alaikum…

Asam Pedas Melaka Style Paling Sedap yang Terkini – Lama kita tak main masak-masak kan?…asyik deco-deco aje. Ramai yang dah mula merungut nampaknya. Bilalah dapur rumah saya nak berasap semula. hehehe… Sebenarnya bukan tak nak kongsi resepi lagi, tapi kadang apa yang di masak pernah di kongsi sebelum ini. Kekangan masa dan kesibukkan yang tidak berpenghujung membantutkan lagi hasrat untuk berkongsi resepi dengan rakan-rakan yang saya sayangi ini.

Okey lah sebagai tidak menghampakan dan juga permulaan kata orang nak start enjin tu, kita panas-panaskan dulu dengan asam pedas Melaka power meletup ni… Memang power dan memang meletup! panas berasap telinga di buatnya. Tak taulah mungkin cili yang saya guna kali ni pedas sangat barangkali. Itu saya tak letak cili api sebagaimana yang di kongsikan tuan empunya resepi ni. Kalau letak tak tahulah gamaknya, ada tercabut terus telinga ni.

Bagi yang nak cuba resepi ni, bolehlah kurangkan cili kering tu, bagi yang tak suka pedas berasap ya.. Jangan letak cili padi dan kurangkan juga sukatan lada hitam. Bila lada hitam bertembung pulak dengan cili kering dan cili api, di tambah lagi halia dan serai, mau tak berasap telinga di buatnya. Resepi ni memang sedap! walaupun pedas berasap, masih lagi terasa powernya tu. Makan dengan ikan goreng dan sambal belacan pun dah bertambah-tambah di buatnya nasi di pinggan. Tapi yang saya punya ni tak payah sambal belacan. Kalau tambah sambal belacan, bukan telingan aje yang tertanggal dengan kepala-kepala sekali pun boleh tercabut tau!… ehehehe…

Okey kita tak payah sembang banyak, saya pun banyak lagi tugasan yang menanti. Kalau ada masa kita sembang lagi ya. Jom layan asam pedas Melaka ni dulu ya. Kali ni saya guna ikan tebal pipi untuk resepi kali ni. Adoiii, mahal betulah harga ikan sekarang. Sekali gi pasar beli ikan aje dah 2 keping duit seratus melayang, kadang terbayang jugak sampai bila lah situasi ini akan berlanjutan. Eemm… jangan di fikirkan lah, kita makan asam pedas sambil urut dada dan bersyukur dengan rezeki yang terhidang di depan mata. Jom kita makan…

Artikel Lainnya:

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan tebal pipi (kurang leboh 500 gram beratnya)
  • 12 batang bendi muda
  • 1 biji tomato
  • 1 genggam daun kesom
  • 1 kuntum bunga kantan – belah 2
  • 1 batang serai – diketuk
  • 1 3/4 senduk nasi cili kisar
  • 1 kiub pati ikan bilis (optinal)
  • 1 camca besar pes asam jawa
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan Kisar Halus:

  • 6 biji bawang merah kecil
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • 1/2 inci halia
  • 1 camca teh jintan kasar
  • 1 camca teh jintan halus
  • 1/2 camca teh lada hitam biji
  • Secubit belacan – dibakar

Bahan-bahan Tumis:

  • 3 biji bawang merah – hiris
  • 1 ulas bawang putih -hiris
  • 1 tangkai daun kari – dilurut
  • 1/4 camca teh halba

Cara Membuat:

  • Ikan disiang, kemudian kerat pada 4 bahagian, cuci bersih dan toskan.
  • Bendi dicuci dan toskan kemudian potong sedikit pangkal dan hujungnya (saya guna bendi kontot, jadi tak perlu dipotong dua). Tomato dibelah 4, ketepikan.
  • Panaskan minyak dalam periuk, masukkan serai titik dan bahan-bahan tumis, tumis hingga harum dan tambah bahan-bahan kisar halus.
  • Kacau rata dan masak hingga wangi, masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan pecah minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  • Tambah pes asam jawa, kacau dan tuang air secukupnya (anggaran 800 ml). Biar mendidih. masukkan ikan. daun kesom, bunga kantan dan bendi, kacau perlahan.
  • Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak hingga bendi lembut. Tambah tomato dan masak sekejap.
  • Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk-lauk lain.

Pastu gandingkan pulak dengan kangkung goreng, perghhh memang terbaik laa.. 😉 Selamat Mencuba…

Read More: Resepi Asam Pedas Ikan Patin Stail Kelantan yang Wajib Cuba

Asam Pedas Melaka Style Paling Sedap yang Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *